Green Earth: Marilah Kitar Semula

Sempena tahun 2011 ni, apa kata kita mulakan tabiat yang baik dengan mengamalkan kitar semula. Selain dari mengurangkan kadar pencemaran alam dan membantu menyelamatkan bumi kita, kita juga dapat menambah duit saku. Walaupun tak banyak, tapi adalah juga. Mengamalkan tabiat yang baik juga dapat memberi contoh kepada generasi anak-anak kita untuk turut sama melakukan perkara yang sama pada masa akan datang. Aku percaya akan kepimpinan melalui teladan, dengan menunjukkan contoh yang baik, insya Allah cahaya mata kita akan turut mengikut teladan ini.

Memulakan tabiat kitar semula adalah tidak susah. Tak perlulah sampai nak korek tong sampah cari tin minuman, botol plastik atau kertas terpakai. Cukuplah sekadar memulakan dengan bahan buangan kita setiap hari di rumah.

Di sini saya kongsikan beberapa cara yang boleh membantu memelihara alam sekitar kita.

1) Kertas

Asingkan semua jenis kertas, dari sebesar-besar kotak/suratkhabar sehingga ke sekecil-kecil resit. Kumpulkan semua pamplet yang diletakkan dalam peti surat dan jual untuk dikitar semula.Sign up untuk e-billing, e-statement melalui online services/banking bagi mengurangkan penggunaan kertas. Simpan salinan statement tu di dalam email untuk references masa hadapan.

Bagi kertas yang bersaiz A4 dan lebih kecil, koyakkan menjadi cebisan-cebisan kecil dan masukkan dalam kotak besar, dengan cara ini anda boleh menyimpan lebih banyak kertas sebelum dihantar recycle. Gunakan kedua-dua belah kertas apabila mencetak. Jangan cetak jika tidak perlu.

2) Plastik.

Bawa plastik sendiri apabila keluar membeli-belah walaupun bukan pada hari sabtu. Pilihan untuk memakai beg kertas/shopping yang bukan plastik adalah lebih baik. Disyorkan membawa bakul atau troli belah-belah.

Simpan semua plastik yang didapati dari aktiviti shopping, gunakan ketika membuang sampah sisa-sisa domestik. Dengan cara ini tidak perlu membeli plastik sampah. Selain itu, semua jenis botol plastik seperti botol detergen, air mineral, minyak dan lain-lain sudah boleh dikitar semula. Bersihkan, kemekkan dan simpan untuk dijual.

3) Barang elektrik

Ketika membeli peralatan elektrik yang baru, pilihlah yang jimat elektrik. Terutamanya air-cond dan peti-sejuk. Air-cond dengan ciri-ciri inverter adalah mesra alam, walaupun harganya sedikit mahal, namun penjimatan bulanan dari bil elektrik adalah berbaloi.

Namun untuk mesin basuh, pilih saiz yang sesuai untuk kegunaan isi rumah anda. Kebanyakkan mesin basuh inverter adalah untuk mesin basuh bersaiz besar. Jika anda isi rumah anda tidak ramai, adalah tidak perlu membeli mesin basuh terlalu besar. Ini kerana jumlah air yang digunakan adalah lebih banyak dari bersaiz kecil. Kumpulkan pakaian dalam jumlah yang mencukupi dan barulah basuh, jangan basuh pakaian terlalu sedikit kerana ini akan merugikan penggunaan air dan elektrik.

4) Air

Tadah air ketika hari hujan, namun pastikan tiada jentik-jentik. Gunakan air ini untuk membasuh lantai laman rumah, menyiram pokok bunga dan membasuh kenderaan. Jangan membazir air untuk aktiviti tidak perlu. Air lebihan membersih beras boleh digunakan untuk menyiram pokok bunga juga.

5) Sisa domestik rumah

Anda boleh mengasingkan sisa makanan di rumah untuk dijadikan baja kompos (tapi jangan simpan di dalam rumah, nanti berbau satu rumah). Cari panduan membuat baja kompos melalui internet. Gunakan baja ini untuk tanaman anda.

Asingkan sisa minyak masak ke dalam tong khas untuk dihantar ke tempat pelupusan. Sisa minyak masak yang dilupuskan dengan cara yang salah boleh menyusahkan banyak pihak. Anda mungkin menyebabkan saluran paip satu apartment tersumbat atau longkang tersumbat. Kini sisa minyak masak boleh dikitar semula untuk kegunaan biodiesel.

Sediakan 4 jenis tong sampah dirumah. HIJAU untuk barang kaca, MERAH untuk tin aluminium, BIRU untuk kertas dan KUNING untuk barang plastik.

Cubalah lakukan apa yang terdaya. Bumi ini untuk diwarisi oleh anak-anak kita juga. Selamat mencuba.