Resepi: Udang dan belimbing buluh ala asam pedas

Setelah agak lama menyepi dari menyediakan resepi untuk kalian, hari ini aku kongsikan resepi yang baru je aku masak. Udang ala asam pedas dengan belimbing buluh. Bezanya dengan asam pedas ialah kuahnya sedikit pekat. Sila mencuba.

Resepi: Udang dan belimbing buluh ala asam pedas

Udang dan belimbing buluh masak ala asam pedas

Sumber: sendiri

Saiz hidangan: 2 orang

Bahan-bahan:

  • 15 ekor udang saiz sederhana
  • 4 biji belimbing buluh (belimbing kecil) dibelah 2
  • 2 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 cm kunyit hidup
  • 2 sudu besar lada lumat (cili boh)
  • Sedikit daun kesum
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 1 cawan air
  • Secubit belacan
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:

  1. Tumbuk/blender bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit.
  2. Panaskan kuali, masukkan minyak dan tumiskan semua bahan tumbuk tadi termasuk cili boh. Biarkan sehingga pecah minyak. (jika menggunakan cili kering, pastikan cili cukup masak)
  3. Masukkan belimbing kecil (untuk memastikan rasa masam menyerap ke dalam kuah), air dan  belacan. Biarkan seketika.
  4. Apabila belimbing mula lembut, masukkan udang. Gaul rata.
  5. Tambahkan garam, gula dan daun kesum. Biarkan seketika, jika terlalu kering, tambahkan sedikit lagi air. Pastikan rasa sempurna, daun kesum akan memasamkan sedikit kuah.
  6. Tutup api, sedia untuk dihidangkan.